Media

Galeri Gambar dan Video

Gambar

PAS Terengganu merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kejayaan penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Terengganu yang berlangsung dalam suasana meriah, harmoni dan penuh semangat ukhuwah.
Majlis ini telah menghimpunkan kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang, termasuk pemimpin masyarakat, wakil parti-parti politik, serta rakyat daripada pelbagai kaum dan lapisan.
Kehadiran tetamu daripada BERSATU, GERAKAN, UMNO, MCA dan MIC serta masyarakat Tionghua, India dan seluruh hadirin yang memeriahkan majlis amat dihargai dan disanjung tinggi.
PAS Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir, sekali gus menjadikan rumah terbuka ini sebagai medan pertemuan yang mengeratkan hubungan, menyuburkan semangat hormat-menghormati dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat majmuk di negeri ini.
Penganjuran program seumpama ini amat besar maknanya kerana ia membuka ruang kepada masyarakat daripada pelbagai bangsa dan fahaman untuk bertemu dalam suasana mesra, saling bertegur sapa dan membina jalinan yang lebih baik demi kesejahteraan bersama.
Pada masa sama, penghargaan yang tidak terhingga turut dizahirkan kepada seluruh petugas, jawatankuasa, sukarelawan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.
Segala komitmen, pengorbanan masa, tenaga dan usaha dalam menyediakan juadah serta mengurus perjalanan program amatlah dihargai.
Sesungguhnya segala khidmat yang dicurahkan, khususnya dalam menyediakan makanan dan melayani tetamu, merupakan satu amalan kebajikan yang mulia.
Mudah-mudahan setiap sumbangan dan pengorbanan tersebut diterima sebagai amal soleh serta dihitung Allah SWT sebagai bekalan berharga di akhirat kelak.
PAS Terengganu sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan majlis ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga program seperti ini terus menjadi jambatan yang menghubungkan hati, memperkukuh perpaduan dan membawa keberkatan kepada negeri Terengganu.
'Kembali Kepada Penyelesaian Islam'
'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera'
Dato’ Ustaz Haji Husain bin Awang,
Pesuruhjaya PAS Terengganu.
18 April 2026 | 29 Syawal 1447H

Video

#TeguhBertahan

30 Videos